PORT DICKSON - Masyarakat di negara ini digalakkan untuk membeli produk yang dihasilkan usahawan tempatan berbanding produk import.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, produk tempatan kini banyak yang bagus serta mempunyai potensi sendiri dalam bersaing dengan produk luar negara.
Menurutnya, jika pengguna memberi sokongan kepada produk dalam negara, sudah pasti ia dapat mempromosikan lagi produk yang dihasilkan usahawan tempatan malah diyakini setara dengan produk antarabangsa.
"Produk dihasilkan usahawan tempatan berpotensi untuk bersaing dengan produk di peringkat antarabangsa sekiranya mendapat sokongan penuh daripada pengguna tempatan.
"Bagaimanapun, usaha itu tidak akan memberi makna sekiranya pengguna tempatan masih cenderung ke arah produk import.
"Saya bukan anti syarikat antarabangsa, tetapi kita perlu ambil sikap terbuka, memilih satu (produk) dari syarikat antarabangsa yang mempunyai keupayaan yang lebih hebat daripada keperluan produk tempatan, itu adalah tidak wajar dan menjadi satu `penyakit` dan perlu diubah," katanya.
Beliau berkara demikian ketika berucap pada majlis Perasmian bworks oleh amaxMALL.com dan Forum SME Route to Digital Hypermarket, di sini hari ini.
Tambahnya, jika benar produk tempatan ada cita rasa yang lebih canggih, jadi masyarakat harus bersifat terbuka, bandingkan produk yang dihasilkan sama ada boleh bersaing di peringkat antarabangsa atau sebaliknya.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif amaxMALL, Datin Dr Nik Sarina Ibrahim.
Sementara itu, Nik Sarina berkata, usahawan khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mempunyai laman web e-dagang sendiri untuk memberi kredibiliti kepada perniagaan mereka dan tidak hanya bergantung kepada media sosial untuk berniaga.
Katanya, menerusi laman web e-dagang, usahawan PKS dapat menguruskan perniagaan dengan lebih berkesan malah pengguna juga boleh melihat dengan lebih jelas butiran serta harga barangan yang dijual.
"amaxMALL adalah platform e-dagang pertama yang memperjuangkan usahawan IKS dan kita melancarkan program bworks ini sempena Forum SME Route to Digital and Hypermarket.
"Ini adalah edisi pertama siri jelajah amaxMALL untuk menggalakkan digitalisasi perniagaan usahawan IKS dengan menggunakan bworks yang membolehkan usahawan mendapatkan laman web e-dagang sendiri dengan harga berpatutan, latihan dan peluang menjual produk mereka ke rangkaian runcit dan hypermarket," katanya
Katanya, sebagai perintis laman e-dagang untuk IKS, perkhidmatan amaxMALL ini tidak terhad kepada penjualan produk IKS secara online sahaja malah berazam memacu industri ini lebih jauh dengan memberi latihan menyeluruh terutama aspek pemasaran.