MELAKA TENGAH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menyelamatkan lapan beradik termasuk seorang bayi yang baru dua minggu dilahirkan selepas ibu bapa mereka ditahan dipercayai terlibat penyalahgunaan dadah.
Ibu bapa kanak-kanak dan remaja terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Rambai di sini dalam operasi diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, semalam.
Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, tujuh beradik yang lain termasuk lima kanak-kanak berusia antara 1 dan 15 tahun diselamatkan apabila ujian urin terhadap ibu dan bapa mereka berusia 39 dan 42 tahun didapati positif dadah.
"Kesemua mereka terdiri daripada 10 beradik namun ketika serbuan itu dijalankan, dua lagi anak pasangan terbabit berusia 14 dan 17 tahun tiada di rumah.
"Seramai lapan orang kanak-kanak terbabit akan dibawa ke mahkamah pada esok hari untuk mendapatkan perintah jagaan sementara di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan) 2016 di institusi JKM," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, operasi yang bermula kira-kira jam 8 malam dan berakhir sembilan jam kemudian itu turut disertai anggota dari Balai Polis Batang Tiga dan sebuah NGO, Kelab Mencari Keberkatan (KMK).
Dalam pada itu, aduan mengenai keluarga terbabit diterima KMK daripada penduduk setempat yang mendakwa kesemua kanak-kanak itu hidup di dalam keadaan tidak terurus dan serba daif.
Pengerusi KMK, Azie Izhar berkata, lapan beradik itu dilaporkan tidak bersekolah sejak awal tahun ini malah keluarga terbabit dikatakan sering berpindah randah di beberapa lokasi sekitar negeri ini.
"Lebih menyayat hati apabila mereka juga mendakwa sering makan nasi goreng kosong dengan garam malah anak yang kecil tidak diberikan susu seperti sepatutnya.
Ibu mereka dikatakan tidak bekerja manakala ayah bekerja sebagai penjual ikan," katanya.