GOPENG - Satu jawatankuasa khas ditubuhkan di peringkat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membela nasib nelayan yang bakal terjejas dengan projek pulau buatan yang dirancang kerajaan Pulau Pinang.
Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Lim Tzen Tzin berkata, penubuhan jawatankuasa itu dibuat susulan pertemuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, baru-baru ini.
Menurutnya, jawatankuasa khas tersebut akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memberi pandangan dan nasihat agar projek tersebut tidak menjejaskan nelayan di kawasan terlibat.
"Kita berpendapat nelayan harus dibela. Mereka adalah golongan B40 dalam keadaan yang susah dan kalau pembangunan itu menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan harus diberikan satu penyelesaian komprehensif.
"Bukan hanya sekadar beri pampasan RM10,000 atau RM20,000 tapi mereka hilang pendapatan selamanya itu tidak adil.
"Kita telah jumpa dengan Ketua Menteri dan tubuhkan satu jawatankuasa di bawah PKR," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Fiesta Buah-buahan, Bunga dan Makanan (FAMA Fest) di Pusat Transformasi Luar Bandar Perak di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng; Exco Perak, Abdul Yunus Jamhari dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Ishak Ismail.
Sementara itu, Tzen Tzin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, keanggotaan jawatankuasa tersebut terdiri daripada beberapa individu termasuk Anwar selaku pengerusi; dirinya sendiri sebagai timbalan menteri; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut ditubuhkan bukan bertujuan untuk berkonfrontasi dengan kerajaan Pulau Pinang tetapi memberi pendapat untuk menjaga kepentingan nelayan di kawasan berkenaan.