Gurauan lima rakan bertukar tragedi

Iklan
Lokasi lima remaja bermandi-manda sebelum salah seorang daripadanya lemas dalam kejadian petang tadi.

HULU SELANGOR - [DIKEMASKINI] Gurauan lima rakan ketika bermandi-manda bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia akibat lemas di Tasik Widuri, Bukit Sentosa jam 3.19 petang tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mayat mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Ukail Raziq Waldan, 13, pada jam 4.43 petang.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kumpulan remaja itu difahamkan mandi di lokasi yang terletak hampir 15 meter dari daratan.

Menurutnya, seorang rakan mangsa memaklumkan mereka mandi di kawasan cetek dengan kedalaman setinggi paras lutut remaja terbabit.

Iklan

"Ketika sedang mandi sambil bergurau, tiba-tiba mangsa telah ditolak oleh dua rakannya sebelum mangsa dilihat tidak kembali timbul.

"Berdasarkan maklumat pasukan penyelamat, keadaan dasar tasik di lokasi kejadian adalah mendatar dan kemudian dalam secara mendadak.

Iklan

"Mayat mangsa dibawa ke Unit ForensiK Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. Mangsa beralamat di Jalan Kemboja 4C, Bukit Sentosa," katanya.

Azman berkata, lokasi kejadian merupakan kawasan tasik terbiar yang digunakan oleh penduduk setempat sebagai kawasan rekreasi air.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Penolong Penguasa Shahrin Jasmi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 3.26 petang.

"Seramai 10 anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian dan melakukan pencarian menggunakan peralatan 'gripping iron' serta teknik pencarian di permukaan.

"Mangsa dijumpai kira-kira enam meter dari tebing dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan lanjut," katanya.