AKSI final Piala FA melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak tanah air apabila perlawanan yang menemukan Perak dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu diiktiraf sebagai pemegang Malaysia Book of Records bagi penyertaan Viking Clap terbesar di Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records (MBR), Christopher Wong Hong Wai mengesahkan rekod tersebut selepas beliau antara panel yang menyaksikan 83,520 penonton melakukan aktiviti itu sebelum 15 minit sepak mula final Piala FA.
Hong Wai memuji komitmen penyokong kedua-dua pasukan atas kesungguhan mereka untuk merekodkan satu sejarah baharu dalam MBR.
"Hari ini (semalam) selepas mendapat pengesahan daripada pelbagai agensi, MBR dapat mengesahkan penyertaan Viking Clap dalam aksi final Piala FA 2019 adalah terbesar di Malaysia.
"Satu semangat kesukanan yang cukup baik telah ditunjukkan oleh penyokong kedua-dua pasukan. Saya dapat melihat kepuasan penyokong yang hadir pada malam ini (semalam),” ujarnya.
Pada masa sama, Hong Wai berharap rekod-rekod baharu akan dicipta atau diiktiraf dalam bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di negara ini.
"Sudah pasti di pihak kami akan sentiasa menantikan-nantikan sukan bola sepak melakukan kejutan untuk mencipta rekod baharu pada masa akan datang.
"Sebelum ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan pertama yang diiktiraf MBR selepas memenangi Liga Super enam kali berturut-turut dan malam ini (kelmarin) satu lagi rekod baharu (Viking Clap) tercipta di sini (Stadium Nasional, Bukit Jalil).
"Saya percaya sukan bola sepak yang sentiasa menjadi perhatian daripada rakyat Malaysia akan terus melahirkan rekod-rekod berlainan dalam MBR pada masa akan datang,” ujarnya.