MPKB-BRI tumpu tiga lokasi utama

Iklan
Dr Izani (kiri) bersama Dr Zaini (dua dari kiri) melawat gerai pameran produk makanan sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Pasar Besar Siti Khadijah hari ini.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan menempatkan penguat kuasa di tiga lokasi utama di bandar ini bagi memantau tahap kebersihan, sekali gus mengubah persepsi orang luar terhadap rakyat Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, penguat kuasa dari Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB) itu akan ditempatkan di Pasar Besar Siti Khadijah, Medan Ilmu Tok Guru dan Dataran Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penguatkuasaan itu dijalankan selepas beberapa kempen dan notis diberikan kepada peniaga atau orang ramai yang berkunjung ke lokasi berkenaan.

"Kita nak bina kembali imej Kelantan agar tidak lagi dikenali sebagai negeri pengotor dan ia perlu dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak. Di Medan Ilmu, kita dan mulakan kempen Jumaat lalu dan zon masjid juga kita akan fokuskan bersama kempen berterusan daripada PBT (pihak berkuasa tempatan) dan pelbagai pihak lain.

Iklan

"Selepas kempen dan notis dikeluarkan, kalau mereka berdegil juga, kita tak akan teragak-agak untuk kompaun maksimum sehingga RM500," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Pasar Besar Siti Khadijah hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin yang hadir sama pada majlis itu berkata, Hari Keselamatan Makanan Sedunia kali ini bertemakan ‘Keselamatan Makanan Tanggungjawab Individu’ dan ditambah nilai dengan kempen 'Kelantan Gerbang Makanan Sihat 2020: Lazat, Selamat dan Berkat'.

Iklan

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Kelantan turut melancarkan kempen jalanan ‘Support World Food Safety Day’ di seluruh negeri sejak 22 Jun lalu.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri sentiasa peka dengan isu keselamatan makanan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan yang menjejaskan kesihatan awam.

"Di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013 memperuntukkan keperluan yang merangkumi tiga komponen utama iaitu kawalan premis, kawalan proses dan kebolehkesanan makanan.

"Sehingga kini, 824 notis 32 B dengan nilai RM98,680 telah dikeluarkan kepada pengusaha dan pengendali makanan di negeri ini. Dalam masa sama, kita menyasarkan semua kantin, fasiliti kerajaan mendapat pengiktirafan Bersih, Selamat, Sihat (BeSS).

"Sehingga kini hanya 17 daripada 45 buah premis yang mendapat pengiktirafan berkenaan,” katanya.