IPOH - Kerajaan Perak menafikan wujud pertikaian isu tanah dengan peneroka melibatkan lot tapak kediaman di Mukim Hulu Kinta yang dianugerahkan kepada pemain dan pegawai skuad Liga Super negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, masalah berkenaan sudah lama diselesaikan kerajaan sebelum pengumuman pemberian tanah itu dibuat Mei lalu.
Menurutnya, isu itu timbul apabila ada pihak termasuk pemimpin pembangkang cuba bersikap tidak bertanggungjawab dengan mengadu domba dan ‘mencucuk' kumpulan petani untuk mempertikai keputusan yang telah dipersetujui bersama.
"Sebelum tanah ini diberikan kepada pemain lagi pihak Pejabat Tanah dan Galian negeri telah berhubung dengan peneroka di sana dan kita telahpun kenal pasti kawasan tanah ganti untuk mereka bercucuk tanam secara sah.
"Jadi tak perlulah pihak-pihak lain cuba adu domba mereka yang telah bersatu hati dengan kerajaan ini kerana sejak awal lagi masalah itu telah berjaya diselesaikan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Pekebun Buah Limau Tambun dan Buah-buahan Tempatan Tambun hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media berhubung rayuan sekumpulan pekebun kepada pemain bola sepak negeri bagi menghalang kerajaan negeri merampas tanah mereka yang didakwa telah diusahakan sebagai tanah pertanian sejak 40 tahun lalu.
Dalam laporan itu dinyatakan peneroka terkejut menerima notis yang mengarahkan mereka mengosongkan tanah di Ulu Chemor, Hulu Kinta dalam tempoh 14 hari atau berisiko dipenjarakan lima tahun atau denda RM500,000.
Perkara itu turut mendapat perhatian Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Facebooknya yang mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak tidak membuka permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada petani terlibat.
Mengulas perkara itu, Ahmad Faizal berkata, bekas perdana menteri itu tidak wajar mempertikaikan perkara berkenaan memandangkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sendiri tidak berjaya menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak berpuluh tahun.
"Selama mereka duduk di situ, kerajaan BN tidak pernah cuba membantu sebaliknya kami yang menyelesaikannya dan sekarang mereka cuba nak buat gaduh pula, ini satu perkara yang tidak seharusnya berlaku," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Tambun itu memberitahu, masalah pemilikan tanah membabitkan kawasan tanaman limau bali seluas 70 hektar sedang dalam tindakan kerajaan negeri.
Katanya, pihaknya positif ia dapat diselesaikan secepat mungkin selepas perbincangan awal diadakan sebelum ini mendapat maklum balas positif daripada Persatuan Pekebun Buah Limau Tambun dan Buah-buahan Tempatan Tambun.