KOTA BHARU - Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) sepatutnya tidak memberikan tanggapan negatif terlalu awal terhadap piagam yang melibatkan penyatuan kukuh antara UMNO dan Pas.
Ketua Penerangan Puteri UMNO Kelantan, Nurul Najihah Yasim berkata, daripada mempertikaikan perkara tersebut tanpa tahu hujung pangkalnya, lebih baik PH menyelesaikan segala masalah dalaman parti-parti komponennya.
"Secara jelasnya rakyat sudah memberikan signal terhadap beberapa perkara berlaku di negara ini sepanjang lebih setahun pemerintahan PH yang telah memberi impak buruk.
"Bukan sahaja dalam kalangan pemimpin Melayunya tetapi juga menimbulkan pandangan negatif di peringkat antarabangsa dan dunia Islam terhadap kepimpinan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Sazmi Miah berpandangan piagam antara Pas dan UMNO adalah tidak masuk akal bahkan tidak memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan.
Mengulas lanjut, Nurul Najihah berkata, Bersatu yang hanya mempunyai bilangan kerusi paling sedikit tidak mampu menjaga kedaulatan agama Islam dan hak orang Melayu.
"Bersatu di lihat sering mengambil langkah berdiam diri apabila isu berkenaan pencabulan bahasa kebangsaan dan hak orang Melayu. Bersatu hanya kucing peliharaan dalam PH dan tak mampu jadi harimau untuk membaham,” katanya.
Tambahnya, PH juga terlalu banyak mencari kesalahan orang lain dan tidak mahu mencari penyelesaian terhadap masalah sendiri.
"Setiap hari dilihat semakin gagal untuk membuktikan mereka lebih baik dari kerajaan terdahulu.
"Pastinya PH, khususnya Bersatu melihat ancaman besar akan wujud kesan daripada piagam UMNO dan Pas menjelang PRU 15 nanti,” katanya.
Pas dan UMNO akan memuktamadkan kerjasama melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman pada 14 September ini.