Teringin cium tangan, peluk emak, abah sebelum nafas terakhir

Iklan
Fadzilah dan suami menunjukkan gambar seorang ahli keluarganya yang pernah menziarahinya sewaktu remaja dahulu.

SABAK BERNAM - Seorang wanita berusia 49 tahun berhasrat menemui ibu dan bapa kandungnya yang terpisah sejak dilahirkan.

Fadzilah WanChik berkata, hasrat menemui ibu bapanya dikenali Timah dan Hassan tidak pernah terpadam malah semakin 'membara' sejak akhir-akhir ini.

Iklan
Iklan

"Sebelum nafas ini terhenti, impian saya hendak mencium tangan serta memeluk erat emak dan abah kandung yang tak pernah bersua muka," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia diserahkan kepada ibu angkat selepas sehari dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur pada 19 Disember 1969.

Iklan

"Mengikut cerita, emak dan abah serahkan saya kepada mak angkat yang ketika itu tinggal berhampiran di Greenwood, Gombak.

"Selepas menyerahkan saya kepada keluarga angkat, emak dan abah berpindah ke Taiping, Perak dan gagal dikesan sehingga sekarang," katanya.

Iklan

Fadzilah berkata, dia pernah didatangi seorang wanita dipercayai mempunyai hubungan keluarga dengan kedua ibu bapa kandungnya.

"Waktu itu, saya tidak mengesyaki apa-apa dan sempat merakam gambar kenangan dengannya dan ada saudara memaklumkan wanita terbabit adik- beradik sebelah emak.

"Ia pertemuan pertama dan terakhir kerana sejak pertemuan itu, wanita tersebut tidak muncul sehingga sekarang," katanya.

Menurutnya, usaha mencari tidak pernah terhenti termasuk melalui akhbar pada tahun 1990 sebagai usaha mengesan kedua-dua ibu bapanya.

"Ketika itu, saya memerlukan wali bagi urusan perkahwinan tapi usaha menjejak mereka tidak berhasil," katanya.

"Hubungan pertalian darah ini tak boleh terhenti setakat ini. Anak-anak juga tidak berhenti berdoa dipertemukan supaya mereka mengenali salasilah keluarga," katanya.

Sementara itu, suami Fadzilah, Selamat Abidin, 57, berkata, dia berharap dapat berjumpa semula kedua ibu bapa kandung Fadzilah.

"Saya simpati dan kasihan dengan nasib isteri (Fadzilah) yang dahagakan kasih sayang dari ibu bapanya sendiri sejak dilahirkan lagi.

"Saya berharap kami dipertemukan semula dan sekiranya masih hidup, di mana tempat tinggalnya? Kalau sudah meninggal dunia, di mana tanah perkuburannya?," katanya.

Selamat berkata, dia berharap kedua ibu bapa Fadzilah atau keluarga serta kenalan dapat menghubungi mereka di talian 011-12755292 atau 019-3260763.