Pesanan terakhir sebelum ‘pergi’

Iklan
Artini menunjukkan gambar bersama Mohammad Daniel ketika Aidilfitri lalu.

SEGAMAT -"Sejak beberapa bulan ini, arwah Daniel amat menitikberatkan ibadah solat apabila sentiasa berusaha mendirikan solat di awal waktu,” kata ibu kepada mangsa lemas, Mohammad Daniel Mohd Yuslizan, 16.

Artini Rabudin, 40, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu juga sering menasihati adik-beradiknya supaya tidak melewatkan solat selain berdoa untuk kedua ibu bapa mereka setiap hari.

Iklan
Iklan

Katanya, perubahan sikap Mohammad Daniel itu seolah-olah persediaan untuk dirinya yang seakan sudah menduga dia bakal pergi buat selama-lamanya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra itu lemas ketika mandi bersama lima lagi rakannya berusia antara 16 hingga 14 tahun di kolam rekreasi Air Terjun Taka Melor, Kampung Tenang, Labis.

Iklan

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, mangsa yang tiba-tiba tenggelam cuba diselamatkan rakan-rakannya dan orang awam yang berada di situ tetapi gagal.

Bagaimanapun dengan bantuan orang kampung, mangsa berjaya ditemui di dasar air terjun namun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Iklan

Artini berkata, dia tidak menyangka sambutan hari lahir Mohammad Daniel yang disambut dua minggu lalu merupakan majlis terakhir buat arwah.

"Saya terkilan sebab sebelum keluar menghadiri jemputan kenduri kahwin petang semalam (kelmarin), saya tidak menyapa arwah di rumah. Hanya sempat menatap wajahnya dan tak sangka itu kali terakhir saya melihat jasadnya yang masih bernyawa.

"Beberapa rakan arwah yang berada di lokasi semalam banyak kali minta maaf pada saya dan suami (Mohd Yuslizan Mazlan, 43) kerana gagal menyelamatkan Mohammad Daniel, namun kami sekeluarga menganggap ini adalah takdir dan tidak meletakkan kesalahan pada sesiapa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farizan Mokhtar berkata, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.