Ikan pekasam, petai laku keras

Iklan
Abdul Yunus (dua dari kanan) menunjukkan pekasam serta produk lain dari Perak yang dijual di Pavilion Perak pada Malaysia Fest 2019 di Bangunan Expo, Changi, Singapura.

SINGAPURA - Ikan pekasam dan petai dari Perak merupakan dua produk paling laris dijual sempena Malaysia Fest 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu di Bangunan Ekspo Changi, di sini.

Malah terdapat rakyat Singapura yang sanggup membeli ikan pekasam yang dihasilkan dari Lenggong, Perak sehingga lapan kotak seorang selain terdapat mereka yang datang kembali untuk membelinya lagi.

Iklan
Iklan

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, pemilihan kedua-dua produk berkenaan untuk dijual pada Malaysia Fest tahun ini merupakan langkah tepat kerana sambutan yang diterima tahun lepas begitu menggalakkan.

"Pada penyertaan kali ketiga Perak di Malaysia Fest kali ini kita mengetengahkan dua produk baharu yang mendapat sambutan hebat daripada rakyat Singapura ini iaitu petai dan ikan pekasam.

Iklan
Abdul Yunus (kanan) melihat rakyat Singapura membeli petai yang dibawa dari Perak pada Malaysia Fest 2019 di Bangunan Expo, Changi, Singapura.

"Sebanyak 10,000 papan petai dan 1,204 kotak ikan pekasam dibawa masuk dari Perak ke Malaysia Fest 2019 di Changi, Singapura untuk dijual kepada pengunjung kali ini dan saya menjangkakan semuanya akan habis dijual sehingga Ahad,” katanya ketika ditemubual media di Bangunan Ekspo, Changi di sini.

Menurut Abdul Yunus, selain petai dan pekasam, kerajaan Perak melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak turut membawa 14 lagi produk yang diusahakan oleh lapan usahawan negeri ini termasuk biskut kelapa, hasil laut sotong dan sambal kacang ketupat.

Iklan

Tambahnya, kerajaan Perak akan bekerjasama dengan pelbagai pihak selain FAMA Perak bagi mempertimbangkan mana-mana produk baharu yang boleh dipasarkan dalam dan luar negara.

"Kita juga akan melibatkan beberapa portfolio lain seperti pelancongan dan usahawan supaya Perak dapat buka lebih banyak gerai pada festival seperti ini," katanya.

Abdul Yunus turut memaklumkan FAMA Perak turut menyasarkan nilai jualan sebanyak RM50,000 bagi 15 produk yang dijual sempena Malaysia Fest 2019 di Changi, Singapura.