Piagam Pas-UMNO bukan jaminan menang PRU15

Iklan
Annuar ketika menyampaikan Ceramah Perdana Islam Memimpin Perpaduan yang dihadiri kira-kira 2,000 hadirin, di sini malam tadi.

SEPANG - Termeterainya Piagam Pas-UMNO pada 14 September ini bukan tiket yang akan memenangkan gabungan parti pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan seluruh ahli UMNO dan Pas untuk bekerja keras menumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan sebagai sebuah kerajaan luar biasa.

Iklan
Iklan

"Banyak perkara kita nak cerita kepada rakyat. Lepas kita menandatangani Piagam Pas-UMNO, tuan-tuan jangan fikir tanda tangan piagam akan beres. Tunggu pilihan raya kita akan menang, tidak.

"Orang UMNO dan orang Pas, jangan sesekali pandang remeh dan anggap ia mudah. Kerajaan ini (PH) bukan kerajaan yang biasa-biasa,” katanya pada Ceramah Perdana Islam Memimpin Perpaduan yang dihadiri kira-kira 2,000 hadirin, di sini malam tadi.

Iklan

Hadir sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Ketua Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan; Yang Dipertua Pas Kawasan Sepang, Haslin Sepang dan Ketua Bahagian UMNO Sepang, Noorazli Said.

Annuar mengingatkan penyokong UMNO dan Pas agar menyedari kehebatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam arena politik.

Iklan

"Kita ada Perdana Menteri yang berusia 94 tahun, sangat kaya pengalaman, seorang pejuang hebat dengan ‘track record’ yang bagus.

"Jadi, orang Pas dan UMNO jangan fikir boleh bersantai lepas dah tanda tangan Piagam Pas-UMNO. Usah anggap (termeterai piagam) dijamin kita menang pilihan raya. Tidak, tidak tak boleh, mari kita atur langkah-langkah kita,” tegas beliau.

Sementara itu, katanya, motif kerjasama itu bukan sekadar menyatukan orang UMNO dan Pas sahaja.

"Kita mesti turun ke jalan raya, kita mesti turun ke medan-medan dan kita kena pergi ke segenap kampung. Kita mesti menyatukan dulu seluruh umat Islam tak kira parti apa.

"Orang Islam ada dalam Bersatu, orang Islam ada dalam PKR, kita kena tarik mereka bersama dan itu pun tak boleh berhenti di situ. Setelah umat Islam bersatu, kita juga kena tarik kawan-kawan kita yang bukan Islam untuk tukar haluan sama-sama dalam perjuangan,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Tambah Annuar, selepas termeterainya Piagam Pas-UMNO itu, mereka wajar membuktikan bahawa Islam adalah jawapan kepada permasalahan dunia.

"Politik Pas dan UMNO bertunjangkan kerana ALLAH, bukan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini yang membezakan antara kita dengan Lim Kit Siang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.

"Bagi orang Islam berpolitik dalam kerangka ibadat, bukan jadikan politik untuk kumpul harta, kumpul puak (warlords). Kita kena kembali kepada ajaran al-Quran, penyatuan kita ini kerana bantuan ALLAH, kedua-dua parti dikalahkan dulu supaya kita bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, tidak pernah sekali pun terlintas dalam sifir politiknya untuk berkongsi pentas dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Saya orang lama dalam politik, tak pernah ada dalam sifir politik saya akan berceramah sepentas dengan Abdul Hadi, ini adalah kuasa ALLAH,” katanya.