Hasnul perlu kembali teraju Pafa

Iklan
Sebahagian penyokong Perak yang mahu Hasnul Zulkarnain kembali menerajui Pafa.
SEBAHAGIAN penyokong bola sepak di Perak mengharapkan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim kembali menerajui Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kekalkan Presiden Pafa, Haizul Nizam Mokhtar berkata, Pafa memerlukan tenaga muda yang memiliki idea segar untuk memberi nafas baharu kepada persatuan itu.

"Hasnul dilihat individu yang paling tepat untuk menerajui kembali Pafa. Kita nampak keupayaan dan semangat Hasnul dalam Pafa. Kita juga tahu dia sedang merancang sesuatu yang baik untuk Pafa.

"Jadi sebab itu kita nak Hasnul terima semula jawatan itu dan penyokong Perak perlu berikan sokongan,” katanya selepas mengadakan himpunan aman menyokong Hasnul Zulkarnain kembali menjadi Presiden Pafa di Dataran Lembah Sayong di sini, hari ini.

Haizul Nizam berkata, Hasnul Zulkarnain perlu diberikan peluang untuk membuktikan keupayaan memimpin Pafa memandangkan permohonan maaf sudah pun dibuat atas kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, menurutnya, himpunan yang diadakan untuk menunjukkan bahawa penyokong masih percaya kepada Hasnul Zulkarnain dan orang ramai yang hadir turut diminta menurunkan tandatangan sokongan pada gegantung yang disediakan.

"Kita yakin penyokong di daerah lain akan turut memberi sokongan kepada Hasnul untuk kekal sebagai Presiden Pafa. Jadi, kita harap Hasnul pertimbangkan semula keputusan meletakkan jawatan sebelum ini,” katanya.