TAIPING - Seorang bapa bakal berdepan hukuman penjara 30 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping di sini hari ini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya, bulan lalu.
Bagaimanapun, lelaki berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd Razak.
Tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan dengan anak perempuannya berusia 19 tahun di sebuah rumah di Rantau Panjang, Selama pada Jun lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh tinggal bersama mangsa.
Hakim kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh dan menetapkan 12 September depan untuk pengurusan kes dan lantikan peguam.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan detik ngeri seorang remaja dipaksa menjadi pemuas nafsu bapanya sejak berusia 14 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja derita enam tahun dinoda ayah sendiri