KDN kutuk tindakan warga Afrika serang polis

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengutuk keras tindakan 50 warga Afrika yang menyerang empat anggota polis yang sedang bertugas dalam kejadian di Flora Damansara, Khamis lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan siasatan penuh dilakukan terhadap warga asing yang terlibat dan dikenakan tindakan sewajarnya dalam kadar segera.

Iklan
Iklan

"Saya ingin merujuk kepada insiden warga asing yang telah mengganggu tugasan polis. Dalam kejadian tersebut, terdapat kira-kira 50 orang Afrika telah bertindak menyerang empat anggota polis semasa mereka sedang menjalankan tugas.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya kejadian ini. Saya telah mengarahkan agar siasatan penuh dilakukan terhadap warga asing yang terlibat dan tindakan sewajarnya diambil dengan segera di bawah peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, setakat ini, seramai 17 lelaki warga Nigeria dan seorang lelaki warga Uganda telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Saya ingin menegaskan bahawa semua warga asing yang datang ke negara ini mesti berkelakuan baik dan sentiasa mematuhi undang-undang negara.

Iklan

"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara ini atau cuba mengganggu anggota penguatkuasaan yang sedang menjalankan tugas.

"Jika ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, mereka seharusnya membuat laporan menggunakan saluran yang betul dan tidak sesekali mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) diserang kira-kira 50 warga Afrika ketika ingin melakukan tangkapan terhadap seorang suspek warga Nigeria yang dipercayai terbabit kes penipuan.

Samseng Afrika berkenaan dipercayai turut melarikan dompet, telefon bimbit dan kunci motosikal milik polis serta mengakibatkan seorang anggota cedera di muka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 160 dan Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh, melakukan gaduh gempar dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.