IPOH - Dua beradik yang bertengkar sesama sendiri dengan seorang daripadanya meninggal dunia, semalam mempunyai hubungan yang baik dan tidak pernah terlibat dalam pergaduhan besar.
Perkara itu dikongsi seorang ahli keluarga yang enggan dikenali ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Menurutnya, dua beradik terbabit tinggal serumah dan tidak pernah berlaku perselisihan faham yang serius.
"Adik-beradik biasalah, bertengkar sikit-sikit tetapi bukanlah gaduh besar tapi untuk kali ini, nampaknya benda dah nak jadi," katanya.
Beliau berkata, kali terakhir dia bertemu mangsa yang merupakan anak kelima daripada enam beradik adalah pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 11.40 malam tadi, mangsa berusia 35 tahun meninggal dunia dengan kesan tetakan di kepala dipercayai dipukul abang kandungnya berusia 37 tahun di hadapan kedai makan diusahakan keluarga mereka di Pantai Remis.
Difahamkan, mangsa sebelum itu berang selepas abangnya bertengkar dengan ibu mereka mengenai bil elektrik kedai makan yang tertunggak menyebabkan pergaduhan berlaku.
Dalam meleraikan pergaduhan itu, ibu mangsa juga mengalami kecederaan dan menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.
ARTIKEL BERKAITAN: Abang bunuh adik gara-gara bil elektrik