Mekanik maut kereta rempuh pondok hentian bas

Iklan
Kereta dinaiki mangsa terbabas dan melanggar perhentian bas. Gambar kecil: Mohd Azlan

DUNGUN - Seorang mekanik maut apabila kereta yang dinaiki terbabas melanggar pondon hentian bas di kilometer 94 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, kampung Tebing Tembah, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang, Mohd Azlan Omar, 38 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Iklan
Iklan

Rakan mangsa, Mohd Kharonizam Mohd Khanafi, 36 yang juga pemandu turut mengalami kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Rezuan Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 petang dan tiba di lokasi beberapa minit kemudian.

Iklan

Menurutnya, ketika tiba ditempat kejadian kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Seorang pegawai bersama lima anggota bomba dikejarkan ke lokasi untuk membantu operasi mengeluarkan mangsa tersepit.

Iklan

"Ketika tiba, didapati seorang lelaki dewasa cedera, manakala seorang lagi disahkan sudah meninggal dunia.

"Mangsa cedera dikejarkan ke hospital, manakala mangsa maut yang berasal dari Kampung Nyior Paka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Proton Persona dipandu Mohd Kharonizam yang datang dari arah Kuala Terengganu dipercayai mengelak sebuah kenderaan keluar dari simpang menyebabkannya terbabas melanggar pondon hentian bas di tepi jalan.

" Akibat pelanggaran itu, kenderaan mangsa dihempap bumbung pondok hentian bas menyebabkan penumpang hadapan maut," katanya.

Mayat mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun, manakala rakannya dilaporkan stabil.