Selangor sasar pengangguran menurun

Iklan
Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menyasarkan kadar pengangguran di Selangor menurun kepada 2.5 peratus tahun ini iaitu sebanyak 0.3 peratus berbanding tahun lalu.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, statistik dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan kadar pengangguran di Selangor pada 2016 adalah 3.2 peratus dan menurun kepada 2.8 peratus pada 2017 dan 2018.

Iklan
Iklan

"Beberapa langkah diambil dalam mencapai hasrat penurunan kadar pengangguran pada tahun ini antaranya Selangor Job Fair, kursus dan latihan, kemahiran vokasional, Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) dan program di bawah agensi.

"Selangor Job Fair tahun ini dilakukan dalam skala besar melibatkan penyertaan 180 syarikat swasta, 20 agensi kerajaan yang menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan," katanya menjawab soalan lisan Rozana Zainal Abidin (PKR-Permatang) berkenaan peluang pekerjaan untuk golongan anak muda.

Iklan

Mohd Khairuddin (PKR-Paya Jaras) berkata, kerajaan negeri melantik ejen penggerak belia negeri bagi menggerakkan program di bawah Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

"Peruntukan RM1.3 juta digunakan bagi pembayaran elaun 288 orang PeBT dan sebanyak RM1.4 juta bagi penganjuran program dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Iklan

"Kerajaan negeri turut menggalakkan belia untuk menceburi bidang keusahawanan seperti latihan selama tiga bulan di bawah Jawatankuasa Tetap Modal Insan menjual produk tenusu dengan sasaran keuntungan bersih RM1,500 sebulan," katanya.

Menurutnya, program pembangunan anak muda dan peluang pekerjaan ini sentiasa dikemas kini melalui laman web kerajaan negeri serta hebahan dari semasa ke semasa dalam usaha mencapai matlamat kumpulan sasaran.