SHAH ALAM - Kerajaan negeri tiada perancangan untuk menutup operasi kilang plastik di Selangor meskipun telah melaksanakan kempen bebas beg plastik sejak 2009.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian meminta perkara itu tidak dijadikan isu kerana tujuan kempen dijalankan bagi memberikan pendidikan bukannya paksaan.
Iklan
Iklan
"Selangor tidak ada rancangan tutup kilang plastik sedia ada. Mereka hendak hasilkan produk itu kuasa mereka. Ia seperti rokok, kita larang merokok tetapi kita masih benarkan kilang hasilkan rokok.
"Pengguna ada hak gunakan beg plastik, kita hanya didik pelanggan supaya mereka kurangkan beg plastik. Pengharaman beg plastik hanyalah pada 2025,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkenaan status kilang plastik selepas kempen bebas plastik dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, Loy Sian memaklumkan kempen bebas plastik diperluaskan dengan larangan menyediakan straw plastik secara terus kepada pelanggan bermula 1 Julai lalu.
"Pemilik premis digalakkan menyediakan straw kertas sebagai alternatif atau pengguna boleh membawa straw sendiri sebagai menyokong kempen ini.
"Kalau boleh jangan guna straw. Kalau kita boleh minum kopi panas dengan cawan, saya rasa tidak ada masalah mengambil minuman sejuk terus dari cawan juga,” katanya.