Bapa curi gogal untuk anak diperintah buat kerja amal

Iklan
Bapa kepada tiga anak ini mengaku salah mencuri gogal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada tiga anak yang mendakwa terpaksa mencuri tiga gogal untuk anaknya diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini menjalankan kerja-kerja amal selama tiga bulan.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan Wan Helmi Wan Sahid, 36, menjalani perintah kehadiran wajib (PKW) di bawah seliaan parol selama empat jam setiap hari bagi menggantikan hukuman tiga bulan penjara dijatuhkan kepadanya.

Iklan
Iklan

Hukuman itu diputuskan selepas dia mengaku salah mencuri sebuah beg hitam jenama Polo Banker, satu set 'allen key' pelbagai saiz, tiga gogal pelbagai warna dan sepasang sarung tangan mandian warna kuning bernilai RM145.10 milik Pasar Raya Mydin Gong Badak, Kuala Nerus.

Dia yang melakukan kesalahan kira-kira jam 7.30 malam di pasar raya berkenaan pada 24 Julai lalu itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Terdahulu, kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohimadin.

Seorang bapa kepada tiga anak memberi alasan bertindak mencuri tiga gogal untuk anaknya ketika ditahan di sebuah pasar raya di Kuala Nerus.

Iklan

Lelaki berusia 36 itu memerlukan cermin mata itu untuk dua anaknya masing-masing darjah dua dan tadika untuk dibawa berkhemah anjuran sekolah masing-masing dalam tempoh terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa curi gogal untuk kelengkapan anak berkhemah