Laporan polis dibuat susulan poster fitnah babitkan Mujahid

Iklan
Mujahid

PUTRAJAYA - Satu laporan polis dibuat hari ini terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Perak Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib serta laman Facebook yang menggunakan nama MyNewsHub kerana memuat naik poster kenyataan fitnah melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Akhbar menteri Siti Zulaikha Zulkifli di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini kira-kira jam 11 pagi.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu laporan polis itu dibuat ekoran penyalahgunaan gambar dan nama Mujahid di poster yang bertulis,"Wendy Loong hina nabi adalah kes terpencil.. Orang Islam jangan terasa hati.. Mujahid”.

Menurutnya, Mohd Khusairi turut memuat naik poster sama dengan menulis status di Facebook beliau dengan tulisan berbaur perkauman dan hasutan iaitu:"Selepas ini sesiapa saja individu boleh hina apa saja agama, kerana perbuatan itu sudah diklasifikasikan oleh Menteri Agama sebagai kes terpencil dan tidak perlu diambil sebarang tindakan. Jangan ada mana-mana pihak terasa hati”.

Iklan

Kenyataan pejabat menteri turut menegaskan bahawa Mujahid tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Menurutnya, Mujahid dengan tegas telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengesan mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad atau agama Islam. -Bernama

Iklan