JOHOR BAHRU - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang memperhalusi sama ada sukan angkat berat akan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abd Rahman berkata, sukan tersebut kini berstatus 'keep in view' (KIV) kerana kes doping sebelum ini.
Iklan
Iklan
"Kita sedang perhalusi. Kita tahu, ini sukan yang agak dekat di hati rakyat Malaysia secara keseluruhan tapi kita nak pastikan sambil kita angkat sukan tersebut, kita tidak memberikan 'lesen' kepada doping diteruskan kerana setiap tahun isu sama berlaku dan berulang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke Stadium Olahraga, Mount Austin Sport City, di sini hari ini.
Turut hadir, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman serta Ketua Pegawai Eksekutif Sports Johor Sdn Bhd, On Jabar.
Selain itu Syed Saddiq berkata, sebanyak 30 sukan telah dikenal pasti akan dipertandingkan pada temasya Sukma 2020 yang bakal berlangsung di Johor tahun depan.
"Mungkin akan ada tambahan. Kita akan bincangkan dengan Majlis Pengurusan Tertinggi kalau ada sukan-sukan yang agak popular di hati rakyat Malaysia untuk disertakan sekali," katanya.