PUCHONG- Seorang peniaga nasi lemak berputih mata apabila motosikal digunakan untuk membawa barang perniagaan dilarikan lelaki yang cuba melarikan diri setelah dikejar anggota polis di Puchong Permai, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.12 pagi, mangsa Ishak Awang, 63, berkata, insiden berlaku ketika dia memindahkan peralatan perniagaan ke atas motosikal jenis Modenas Kriss berwarna hitam yang dibeli anaknya dengan harga hampir RM3,000.
Menurutnya, tidak sampai beberapa minit motosikal itu ditinggalkan dengan keadaan enjin masih hidup ia lesap dilarikan.
"Masa angkat barang perniagaan tu saya nampak polis tengah kejar seorang lelaki. Waktu tu enjin motosikal memang dibiar hidup kerana dah tutup gerai dan tiba masa nak balik rumah.
"Tiba-tiba lelaki itu terus naik motosikal dan melarikan diri tanpa diketahui arah dituju," katanya.
Ishak yang tinggal di Kampung Sri Langkas Tambahan, Batu 13 di sini kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong untuk tindakan lanjut.
Beliau memohon orang ramai yang ada ternampak lelaki menunggang motosikal jenis tersebut dalam keadaan mencurigakan supaya menghubungi balai polis terdekat.