GEORGETOWN - Sembilan pendaki termasuk dua wanita yang dilaporkan sesat ketika mendaki Bukit Bendera petang semalam berjaya ditemui dan dibawa turun dengan selamat awal pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, semua mereka termasuk tiga warga emas itu berjaya ditemui oleh pasukan bomba pada jam 1.09 pagi dalam kawasan hutan Bukit Bendera.
Sembilan mangsa yang terlibat dikenali sebagai Lim Sang Yang, 51; Cheng Chang Hua, 61; Chan Che Chen, 60; Yap Heng Leong, 39; Ho Cheng Meng, 60; Eng Gin Weh,18, dan Tam Han Gen, 33, serta dua wanita Tan Kah Oii, 24, dan Ambika, 35.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada seorang daripada sembilan individu itu pada pukul 7.27 petang memaklumkan mereka telah sesat di kawasan Bukit Bendera dan kami terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat.
"Kami berjaya mengesan semua mangsa pukul 1.09 pagi dan mereka juga boleh mendengar isyarat siren dari kami, mangsa kemudiannya membuat nyalaan unggun api sementara menunggu pasukan penyelamat tiba di lokasi," katanya di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, semua pendaki berjaya dibawa turun ke Dataran Bukit Bendera dengan selamat menggunakan kenderaan pacuan empat roda pada pukul 5.20 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya.
Katanya pemeriksaan awal mendapati sembilan pendaki itu dalam keadaan baik, namun keletihan selepas gagal mencari jalan untuk turun.
Sementara itu seorang mangsa, Han Gen berkata mereka mula mendaki Bukit Bendera pada pukul 5 petang dan menggunakan laluan pendakian yang selalu digunakan pendaki di situ.
Namun, katanya selepas lebih dua jam mendaki, mereka menyedari telah tersesat kerana gagal mencari laluan yang sepatutnya untuk turun ke kaki Bukit Bendera sebelum beliau mengambil keputusan untuk menghubungi pihak bomba.
"Kami tidak tahu macam mana boleh sesat kerana ada dalam kalangan kami memang sudah biasa dengan laluan di Bukit Bendera. Terima kasih pihak bomba bantu bawa turun kami dengan selamat," katanya. - Bernama