SITIAWAN - Jabatan Perikanan mengesan nelayan di Perak, Johor dan Selangor paling aktif menggunakan bubu naga dan pukat rawa sorong.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, Jabatan Perikanan melalui bahagian Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) giat menjalankan operasi bagi mengekang aktiviti berkenaan ekoran ia mengancam sumber perikanan negara.
"Sebanyak 468 kes bubu naga dicatatkan tahun lalu melalui operasi yang dijalankan manakala sejak awal tahun hingga kini sebanyak 341 kes dicatatkan membabitkan 3,714 bubu naga berjaya dirampas.
"Perak mencatatkan kes tertinggi apabila pada tahun ini sahaja sebanyak 190 kes bubu naga dicatatkan melibatkan 2,380 bubu naga berjaya dirampas sehingga kini berbanding 2,000 unit tahun lalu," katanya.
Munir berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Buku Kajian Semula Pelan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia 2019-2020 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Kampung Acheh di sini hari ini.
Menurut Munir, Jabatan Perikanan turut mendapati aktiviti yang menggunakan peralatan itu banyak dilakukan oleh nelayan tempatan yang tidak berlesen selain turut mengesan segelintir nelayan asing.
"Isu ini juga termasuk dalam buku kajian semula pelan strategik ini dari aspek penguatkuasaan untuk kita mengukuhkan aktiviti dari segi pengawalan, pemantauan dan pengawasan membabitkan penggunaan peralatan sekali gus menguatkuasakan peraturan, undang-undang serta Akta Perikanan," katanya.
Munir berkata, kajian semula pelan strategik berkenaan adalah selaras dengan Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019-2020 yang dilancarkan pada 14 Februari lalu.
"Pelan strategik ini memberi penekanan kepada tujuh perkara penting dalam melaksanakan fungsi pembangunan subsektor perikanan negara dan mengurus sumber perikanan secara mapan.
"Ia meliputi sektor Perikanan Tangkapan, Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Pembangunan Akuakultur, Perlindungan Sumber dan Penguatkuasaan Perikanan yang termaktub dalam elemen Memperkasa Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS) serta memperkasa Penyelidikan, Pengembangan dan Modal Insan," katanya.