BALI - Perbuatan tidak bermoral sebuah keluarga dari India mencuri pelbagai barangan di salah satu hotel di Indonesia terbongkar selepas beg mereka diperiksa ketika hendak meninggalkan bangunan tersebut.
Menerusi video pendek berdurasi 2 minit 20 saat yang tular di laman Twitter, kelihatan beberapa bagasi dipenuhi barangan termasuk barang hiasan, penyangkut baju, alat pengering rambut dan tuala ditemui.
Menyedari kesalahan yang telah dilakukan dan bimbang dibawa ke pihak polis, seorang lelaki memberitahu akan membayar harga barangan diambil.
"Saya akan bayar. Saya ada duit,” kata lelaki berkenaan sambil meminta maaf.
Bagaimanapun, pekerja hotel enggan menerima duit kerana menyifatkan tindakan mereka sebagai tiada rasa hormat.
"Ia bukan tentang duit. Saya tahu kamu ada duit yang banyak. Tetapi ia tentang rasa hormat. Kamu datang ke Bali dan mencuri, itu sikap yang sangat tidak dihormati,” tegas pekerja hotel.
Sementara itu, polis daerah Sukawati dalam satu muat naik di laman Facebook memberitahu, salah seorang tukang bersih bilik terlihat tetamu tersebut membaling barang ke bawah dan ia mendorong pekerja hotel untuk memeriksa bagasi mereka.
Rata-rata pengguna media sosial menyelar tindakan keluarga itu dan menganggap ia tindakan yang sangat memalukan. - Agensi