TANAH MERAH- Sudahlah sakit tua...seorang warga emas di Kampung Jerangau, Gual Ipoh terpaksa tinggal dalam kediaman yang uzur dan hanya tunggu masa menyembah bumi.
Hassan Dollah, 72 yang mengalami masalah kesihatan sejak sekian lama tinggal bersama anaknya di kediaman usang itu.
Menurut Hassan, dia kini hanya menerima bantuan bulanan RM350 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kehidupan.
"Sebelum ini kami pernah memohon untuk baik pulih kediaman ini melalui pejabat penyelia DUN namun sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan.
"Walaupun kediaman ini sudah pun uzur namun kami tidak mampu menyewa kediaman lain dan hanya inilah tempat berteduh kami," katanya.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, kawasan bumbung kediaman itu bocor dan banyak yang dimakan anai-anai.
Hassan mengharapkan agar ada pihak yang sudi membantu meringankan bebannya dan dia dapat tinggal dalam kediaman yang lebih baik.
Beliau ditemui selepas rawatan Jom Cakna Asnaf di kediaman beliau kelmarin.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menerima sumbangan barangan dapur.
Sebarang sumbangan boleh disampaikan melalui nombor akaun Maybank di nombor akaun 153039072634 kepada Jom Cakna Asnaf untuk bantuan lanjut.
Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah mengunjungi kediaman Hassan dan pihak terbabit akan mengusulkan bantuan baik pulih rumah untuk tindakan lanjut.