Penunggang ibarat menempah maut

Iklan
Gambar hiasan

INSIDEN pilu membabitkan pasangan suami isteri, Muhammad Hamadi Zakaria dan isterinya, Nur Syuhadah Zaini yang maut di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan, baru-baru ini wajar membuka mata banyak pihak.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia apabila motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 500R ditunggangi mereka tidak sempat mengelak dua motosikal bergesel di hadapan mereka sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pengalaman penulis yang melalui lorong berkenaan sebelum ini walaupun sekadar membonceng, penulis sendiri merasakan nyawa penunggang ibarat di hujung tanduk terutama ketika berselisih dengan motosikal lain.

Dengan bilangan motosikal yang padat terutama pada waktu puncak pada awal pagi, ia mampu mengundang malapetaka jika tersilap langkah sehingga boleh mengheret penunggang lain terlibat sama.

Iklan

Jalan berlopak, jalan rosak akibat akar pokok yang menjalar, terowong yang gelap dan banyak sangat lencongan antara masalah yang sering diutarakan pengguna lorong berkenaan. Itu juga faktor mengapa mereka lebih memilih untuk menggunakan laluan lebuh raya daripada mempertaruhkan nyawa di lorong motosikal.

Menurut Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor, Mohd Rawi Omar, hasil audit laluan yang diiringi pegawai dan anggota daripada JSPT IPK Selangor mendapati laluan berkenaan tidak selamat dilalui atas beberapa faktor.

Iklan

"Jika pada tahun 1970-an ketika era pembinaannya, laluan motosikal lebuh raya berkenaan dibina mengikut kesesuaian kapasiti motosikal ketika itu 70cc atau 80cc, tidak seperti sekarang motosikal berkuasa tinggi juga melaluinya.

"Laluan juga kena mengambil kira semua jenis motosikal termasuk skuter saiz roda sekecil 10 inci radius. Bila melalui penutup longkang mereka mungkin mengalami hentakan terlalu kuat dan penunggang boleh hilang kawalan berbanding motosikal roda bersaiz 17 inci, 18 inci, 19 inci dan ada jenis scrambler 21 inci,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, begitu juga dengan lorong masuk dan keluar motosikal yang boleh mengundang nahas yang meragut nyawa andai penunggang tersilap langkah.

Mohd Rawi berkata, ketiadaan lorong kecemasan untuk motosikal yang rosak juga antara faktor yang mengundang bahaya. Ibaratnya, andai motosikal kita rosak, kebarangkalian untuk kita mendapat malapetaka juga tinggi.

Menurutnya, dalam audit yang dibuat pada Jun lalu, daripada 25 terowong yang ada di laluan berkenaan, hanya tiga terowong didapati dilengkapi lampu.

Beliau menambah, sudah tiba masanya laluan berkenaan ada peronda sendiri agar segala kecacatan dapat dibaiki segera, di samping penyelenggaraan berkala demi keselamatan penggunanya.

Sementara itu, Ketua Konvoi (Road Captain) kelab motosikal Kepala Kuasa Motorcycle Group (KKMG), Muhammad Naguib Kaharudin, 45, berkata, kebanyakan penunggang motosikal kini lebih mengutamakan aspek keselamatan berbanding mengikut peraturan yang mewajibkan mereka menggunakan laluan tersebut.

Sebagai contoh, Muhammad Naguib menyebut perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shah Alam yang mana rata-rata penunggang lebih memilih untuk menggunakan lebuh raya kerana faktor laluan khas motosikal yang sempit dan keadaan jalan yang berlopak.

"Saya ialah penunggang motosikal bersaiz kecil dan besar, bagi saya laluan yang disediakan itu tidak sesuai pun untuk mana-mana jenis motosikal,” katanya.

Beliau berkata, laluan khas tersebut menyukarkan penunggang apabila mereka berada dalam situasi kecemasan dan ketika mahu memotong motosikal di hadapan.

"Tiada lorong ekstra di laluan ini, bayangkan apabila ada motosikal yang rosak dan terpaksa berhenti di tepi terutamanya ketika berada dalam terowong (laluan motosikal).

"Dan apabila kita bawa motosikal perlahan dan motosikal yang di belakang mahu memotong, situasi ini agak berbahaya kerana jarak kita dengan motosikal lain sangat dekat,” katanya.

Penulis berpendapat sudah tiba masanya pihak berwajib melakukan sesuatu untuk menaik taraf lorong motosikal.

Tahap keselamatannya perlu setaraf dengan laluan kenderaan lain kerana penunggang motosikal juga berhak untuk mendapatkan kemudahan terbaik.

Jangan sampai sesuatu yang lebih dahsyat berlaku, baru ketika itu semua hendak buka mata.