Lelaki mengaku tak salah miliki baju hujan berlambang polis

Iklan

ALOR SETAR - Seorang lelaki warganegara Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki baju hujan yang mempunyai lambang polis awal bulan ini.

Monsur Redowan, 18, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nabilah Md Ruslan sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan lelaki yang tidak bekerja itu dituduh memiliki baju hujan berlambang polis, dijumpai dalam raga motosikal ditunggangnya di Jalan Gunung Keriang di sini, pada 2.30 pagi 4 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau keduanya sekali.

Iklan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 7 Februari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.- Bernama

Iklan