IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melaksanakan siasatan menyeluruh terhadap Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) berhubung status kewangannya yang tidak pernah diaudit selama ini.
Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Salman Saleh berkata, pendedahan oleh pihak Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak itu nyata membimbangkan dan perlu disiasat.
Malah menurut Salman, pihaknya bersedia membantu SPRM untuk menjalankan siasatan berkenaan.
"Kita menggesa SPRM untuk laksanakan siasatan menyeluruh terhadap MB Inc.
"Tindakan kerajaan negeri sebelum ini yang mempertahankan agar penyata kewangan MB Inc tidak dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak terbukti cuba membunyikan sesuatu," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan PAC ke atas MB Inc selesai
Sementara itu, Salman berkata, pihaknya bersedia membantu SPRM untuk menyambung siasatan berhubung anugerah BrandLaureate kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini.
Katanya, isu tersebut pernah disuarakan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi pada sidang DUN sebelum ini dan ia ternyata tepat.
"PAC Perak memaklumkan bahawa secara keseluruhannya jumlah terbitan (majalah Brand Laureate) ialah sebanyak 3,000 naskhah. Bagaimanapun 2,783 naskhah masih tidak diedarkan malah masih berada dalam bilik stor.
"Ini amat mendukacitakan selain ditambah dengan pendedahan yang pernah dibuat sebelum ini oleh pihak PAC," katanya.