YAN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan operasi kuari batu kapur di Gua Kelambu yang terletak di Mukim Pulai, Baling.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, ini berikutan terdapat beberapa buah rumah penduduk berhampiran cadangan tapak projek berkenaan.
Menurutnya, mengikut garis panduan pemuliharaan dan pembangunan kawasan sensitif alam sekitar serta kawasan sekitarnya, jarak zon penampan bagi sumber batuan agregat bukit batu kapur ialah 500 meter atau tiga kali ganda jarak ketinggian.
"Mereka juga perlu mematuhi Guidelines for Siting and Zoning Industry and Residential Areas 2012," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Meenakshi, komponen laporan penilaian kesan kepada keadaan sekeliling (EIA) berhubung Kajian Impak Sosial (SIA) tidak menyeluruh meliputi keseluruhan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan cadangan projek.
"Sebilangan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan cadangan projek mendakwa tidak pernah dimaklumkan mahu pun disoal selidik samada oleh perunding EIA, penggerak projek mahu pun agensi-agensi berkaitan," katanya.
Meenakshi berkata, kegiatan eko-pelancongan kecil-kecilan berasaskan alam semula jadi seperti berkayak di sebahagian Sungai Ketil menjadi sumber pendapatan sampingan penduduk berhampiran.
Bagaimanapun katanya, kegiatan kuari secara langsung mahupun tidak langsung boleh menjejaskan sumber pendapatan penduduk kawasan berkenaan.
"Di samping itu, kegiatan lain seperti mencari hasil hutan dan mengambil baja organik yang menjadi sumber pendapatan sampingan penduduk berhampiran dilihat bakal terganggu," katanya.
Menurutnya, penerokaan itu juga akan mencemarkan kualiti air Sungai Ketil yang berpunca daripada kerja-kerja tanah dan sisa hancuran batu kapur.
"Pihak kami sangat berharap pihak berkuasa kerajaan negeri mengambil tindakan wajar berkaitan keadaan ini," katanya.