JOHOR BAHRU - Seramai 82 individu termasuk enam warga asing ditahan kerana dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di kawasan setinggan, Kampung Melayu Pandan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 6 pagi itu turut menemukan sejumlah dadah jenis heroin dan syabu.
Menurutnya, operasi melibatkan seorang pegawai kanan bersama 35 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor, Unit Anjing Pengesan, Polis Marin, JSJN Seri Alam, JSJN Johor Bahru Selatan dan Balai Polis Majidee.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 71 lelaki tempatan, lima wanita tempatan, seorang lelaki warga Indonesia dan lima lelaki warga Myanmar.
"Buat masa ini, latar belakang dan umur kesemua suspek masih diperiksa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, kesemua suspek yang ditahan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk membekal, memiliki dan positif dadah.
"Polis juga menemui sebanyak 69.53 gram heroin dan 11.90 gram syabu dalam serbuan ini yang mana kesemuanya dirampas untuk membantu siasatan.
"Kita sentiasa memandang serius isu ini, jadi untuk melumpuhkan kegiatan penagihan dan pengedaran dadah, kerjasama orang awam menyalurkan maklumat adalah amat penting," katanya.