MELAKA - Mayat seorang pelajar yang sedang mengikuti latihan industri di sebuah syarikat operator pelabuhan di Kuala Linggi, Muhammad Afizuddin Aidzuhan, 20, yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dari sebuah kapal tunda tempatnya bertugas, malam Ahad lalu, akhirnya ditemukan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, mangsa ditemui sekitar 12.45 tengah hari oleh sekumpulan nelayan yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, mangsa ditemui pada jarak 3.9 batu nautika dari lokasinya ditemui jatuh sebelum dibawa naik ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Linggi.
"Pelajar itu ditemui dalam keadaan tertiarap di permukaan laut dengan kesan luka pada bahagian muka sebelum pengecaman wajah dibuat oleh anggota keluarga yang turut berada di lokasi kejadian.
"Semalam kita mengesyaki dia terjatuh, namun tidak pasti sama ada benar atau tidak. Sebaik mayat ditemui, maka memang sah mangsa telah terjatuh ke laut," katanya ketika ditemui di Kompleks LKIM, Kuala Linggi, di sini hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum dibawa ke Damansara, Selangor untuk dikebumikan.
Dalam kejadian lewat malam Ahad lalu, mangsa yang merupakan pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Marin di Kolej Ranaco di Kemaman, Terengganu yang sedang mengikuti latihan industri sebuah syarikat operator pelabuhan dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dari kapal.
Kejadian berlaku di perairan Selat Melaka kira-kira 2 batu nautika dari Jeti Nelayan Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi.
Kehilangan mangsa bagaimanapun hanya disedari oleh anak kapal lain kira-kira jam 1 tengah hari semalam lalu terus melaporkan kehilangannya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum operasi SAR digerakkan pada jam 5 petang semalam.
Mangsa yang telah enam bulan menjalankan latihan industri di kapal ‘Tag Nur Tiga’ dilaporkan kali terakhir dilihat pada sekitar jam 11.50 malam Ahad lalu ketika sedang bertugas membuat pemantauan di kapal lain, ‘MV Bunga Mas 6’ bersama seorang lagi anak kapal.
ARTIKEL BERKAITAN Pelajar praktikal hilang dikhuatiri jatuh dari kapal tunda