Justeru, Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim berkata pada masa ini, atlet angkat berat kebangsaan perlu melaporkan maklumat keberadaan (whereabouts) harian mereka melalui sistem dikendalikan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).
"Atlet perlu kemas kini maklumat ‘whereabouts’ harian walaupun sedang bercuti atau menyertai kejohanan. Maklumat ‘whereabouts’ harian perlu diisi mengikut suku setiap tahun.
"Sekiranya gagal melaporkan diri, atlet tersebut tidak layak untuk bertanding di peringkat antarabangsa,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM, semalam.
‘Whereabouts’ atau Sistem Pengurusan dan Pentadbiran Anti-Doping (ADAMS) adalah rangkaian sistem profil aktiviti harian atlet yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.
"Menerusi sistem yang dibangunkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) ini, atlet angkat berat perlu mengemas kini profil, lokasi dan aktiviti harian mereka,” katanya.
Beliau berkata, maklumat tersebut akan turut disalurkan kepada WADA, sekali gus membolehkan Adamas atau mana-mana organisasi anti-doping melaksanakan ujian anti-doping tanpa notis awal bagi menangani gejala penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet.
Sebelum ini, isu doping yang tidak berkesudahan melanda atlet angkat berat negara pada beberapa kejohanan peringkat antarabangsa serta tempatan, sekali gus menyebabkan sukan berkenaan mendapat perhatian serius daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).
Mengenai sasaran kutipan pingat pada Sukan SEA kali ini, Amirul Hamizan berkata pada masa ini, badan induk itu menetapkan sasaran satu pingat perak dan satu gangsa.
"Kita tidak berani tetapkan lebih sebab kita nak lihat prestasi atlet kita terlebih dahulu. Banyak kategori dipertandingkan pun baru, jadi banyak negara (atlet mereka) belum keluar lagi (turun beraksi), yang ada hanya dua atau tiga kejohanan antarabangsa, tetapi kita sentiasa kemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.- Bernama