'Yuran UTM naik mendadak, bebankan mahasiswa'

Iklan
Gambar kecil, MUHAMMAD SYAMIL.

KUALA TERENGGANU - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Terengganu membantah sekeras-kerasnya kenaikan mendadak yuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang disifatkan membebankan mahasiswa.

Pengerusinya, Muhammad Syamil Mohamad Suhaimi berkata, pihak pengurusan UTM dan Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengambil serius perkara itu agar dapat diselesaikan sebaik mungkin demi kebajikan mahasiswa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Gamis Terengganu akan berdiri teguh bersama mahasiswa UTM bagi membantah kenaikan yuran mendadak itu.

"Cukup memilukan, sudahlah janji menghapuskan hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) kini dipermainkan oleh politikus kerajaan, diikuti janji bayaran semula setelah bergaji RM4,000 juga tidak ditunaikan," katanya.

Iklan

Dalam surat pemakluman Kenaikan Yuran Perkhidmatan UTM yang rasmi dikeluarkan pada 9 Julai lalu, berlaku kenaikan 113 peratus daripada RM328 kepada RM700 untuk pelajar tempatan dan peningkatan sebanyak RM435 kepada pelajar antarabangsa.

Malah, perincian yuran pelajar untuk semester 1 sesi 2019/2020 tidak dinyatakan dalam MyUTM dan yuran ini akan dikenakan kepada kemasukan mahasiswa Februari sesi 2019/2020 dan seterusnya.

Iklan

Jelas Muhammad Syamil, kenaikan itu akan menjadi bebanan buat mahasiswa terutamanya golongan isu rumah berpendapatan rendah (B40).

"Mereka akan terkesan dengan kenaikan yuran mencecah hampir RM2,000 walhal pinjaman biasiswa seperti PTPTN sangat terhad," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian kini cuba mendapatkan kenyataan maklum balas dari UTM berhubung isu kenaikan yuran tersebut.