KOTA BHARU - Polis masih menjalankan siasatan berhubung laporan tiga murid nyaris menjadi mangsa culik di hadapan sebuah sekolah di Tanjung Mas di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan diteruskan menjurus kepada lelaki yang dikatakan memeluk murid itu.
"Setakat ini tiada saksi bebas yang melihat van putih seperti dakwaan cubaan culik seorang murid sekolah itu di kawasan tersebut. Bagaimanapun siasatan diteruskan kepada lelaki yang dikatakan memeluk murid itu.
"Siasatan awal mendapati isu yang dikaitkan dengan cubaan culik dengan menggunakan van putih tidak wujud setakat ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Sinar Harian semalam melaporkan tiga murid tahun enam di sebuah sekolah di Tanjung Mas di sini mendakwa nyaris menjadi mangsa culik sindiket van putih ketika keluar membeli makanan di luar pagar sekolah mereka pada waktu rehat kelas tambahan Sabtu lalu.
Kejadian didakwa berlaku pada jam 11 pagi apabila salah seorang daripada tiga mangsa yang berusia 12 tahun didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang memegang dan memeluknya.
Laporan dibuat di Balai Pengkalan Chepa oleh guru berusia 47 tahun yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan pada jam 1.25 petang kelmarin.
Abdul Rahim turut mengesahkan menerima laporan tersebut yang turut tular di laman sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga murid nyaris diculik van putih depan sekolah