GOMBAK - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan ketidakhadirannya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik sejak November 2018 adalah soal pengurusan parti.
"Apa kena mengena dengan media?. Itu soal pengurusan parti,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis kesyukuran dan doa selamat untuk jemaah haji Parlimen Gombak 2019 dan sumbangan kemasyarakatan Parlimen Gombak di Masjid Gombak Utara, malam ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memberi reaksi berkenaan sebagai maklum balas kepada kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan Mohamed Azmin tidak pernah hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik sejak November tahun lalu.
Malah menurut Saifuddin, Mohamed Azmin tidak pernah memberikan sebarang sebab atas ketidakhadirannya.
Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, Ahli Parlimen Gomabk itu tidak pernah memberikan sebarang sebab atas ketidakhadirannya.
"Tidak pernah dinyatakan alasan,” katanya.
Merujuk Fasal 21.16 Pelembagaan PKR menyatakan:"Mana-mana ahli pimpinan pusat mungkir menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai meletakkan jawatan di dalam Majlis Pimpinan Pusat dan Majlis Pimpinan Pusat berhak menguatkuasakan fasal ini'.
Bagaimanapun, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, Hilman Idham memberi jawapan bertentangan.
Katanya, setiap ketidakhadiran Mohamed Azmin dalam mesyuarat MPP dan Biro Politik itu sudah dimaklumkan kepada parti.
"Dia (Mohamed Azmin) dah maklumkan bahawa dia tak boleh hadir sebab urusan kerajaan. Sebagai menteri dia ada tanggungjawab, sebagai kerajaan.
"Kalau dia ada waktu dan dia boleh hadir, kalau tidak dia hadir mesyuarat kerajaan,” katanya yang juga ADUN Gombak Setia.
Hilman juga meminta Saifuddin untuk menyemak semula jadual kedatangan Mohamed Azmin dalam mesyuarat-mesyuarat berkenaan.
"Suruh Setiausaha Agung PKR, semak jadual, saya tak jaga jadual mesyuarat parti," katanya.