SHAH ALAM - Profesor Kanan Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Datuk Dr. Shazali Abu Mansor bersetuju sekiranya kerajaan mengutamakan kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi yang menjalani latihan praktikal dengan membayar elaun setimpal kepada mereka.
Menurutnya, dari segi ekonomi pelatih ini bakal membantu negara dalam kemahiran dan kebijaksanaan yang mereka ada bagi meningkatkan produktiviti negara.
"Anggaran pemberian elaun pada hari ini berbaloi jika diberikan sebanyak RM500 sebulan kerana kerajaan masih mampu menanggungnya walaupun dengan jumlah 100,000 hingga 200,000 pelajar.
"Jika pemberian elaun mencecah RM1,000 sebulan pula, saya fikir jumlah itu sangat mewah dikhuatiri akan membebankan kerajaan pula," katanya kepada Sinar Harian.
Shazali berkata, tidak dinafikan ramai dalam kalangan pelajar hari ini berdepan dengan masalah kewangan untuk menjalani latihan industri.
Jelasnya, apa yang berlaku mereka terpaksa melakukan kerja-kerja latihan praktikal di kampung di mana pendedahannya amat terhad.
"Usaha Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menekankan kepentingan pemberian elaun kepada pelajar terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) itu sebenarnya perlu dilaksanakan segera.
"Ia adalah masa yang tepat dan memenuhi teori ekonomi," katanya.
Terdahulu, Kabinet bersetuju memperkenalkan semula pembayaran elaun kepada pelatih yang berkhidmat di bawah kerajaan.
Syed Saddiq berkata, kewajipan membayar elaun ini akan merujuk kepada pekeliling yang akan dilaksanakan di setiap kementerian dan agensi kerajaan.
Skim pembayaran kepada pelatih akan dinilai mengikut beberapa kriteria yang akan ditetapkan dan ia akan dilaksanakan bagi kemudahan pelatih.