Resah obesiti disebabkan keturunan

Iklan
DR Zanariah
ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

SOALAN 1

RAWAT berat badan dengan senaman.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


DOKTOR, saya menghidap penyakit obesiti. Boleh dikatakan semua lelaki dalam keturunan kami obes atau gemuk. Persoalan saya, adakah obesiti itu mudah terkena pada kaum lelaki dan apakah cara paling cepat untuk saya menguruskan badan?

- LELAKI OBESITI, AZIZI AHMAD, 45, TEMERLOH, PAHANG

JAWAPAN:

TUAN, dari segi statistik kajian nasional dijalankan mendapati kadar obesiti orang dewasa hampir sama antara lelaki dan perempuan. Mungkin terdapat sedikit lebihan data pada wanita.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan Sedunia dan Morbiditi Kebangsaan tahun 2015 menunjukkan kadar obesiti dalam kalangan wanita sebanyak 20.6 peratus berbanding dengan lelaki 14.9 peratus.

Ia menjadikan satu daripada tiga dewasa berusia lebih 18 tahun mempunyai berat badan berlebihan dengan 30.6 peratus mengalami obesiti. Masalah wanita obesiti lebih cenderung disebabkan oleh hormon dan gaya hidup yang banyak melakukan kerja sambil duduk.

Risiko obesiti dalam kalangan wanita juga disebabkan faktor kehamilan. Namun, secara umum, salah satu punca utama obesiti disebabkan perubahan mendadak dalam persekitaran makanan.

Kebanyakan kita lebih suka mengambil makanan dalam jumlah yang lebih banyak dan saiz lebih besar.

Faktor-faktor lain penyumbang pada obesiti termasuklah masalah kurang tidur, stres, tidak aktif dan pengubahsuaian epigenetik.

Meskipun begitu, obesiti merupakan kesan apabila tubuh lebih kerap mengambil kalori berbanding menggunakannya kembali. Keadaan itu menyebabkan berlaku penyimpanan lemak berlebihan dan penambahan berat badan.

Tiada cara ekspres Tiada cara cepat untuk kurus. Ia berdasarkan jumlah berat badan yang dihadapi dan cara optimum yang dilakukan untuk mengurangkan berat tersebut.

Tuan boleh dibantu dengan mengikuti mana-mana program rawatan berat badan seperti diet, senaman dan ubat-ubatan. Dapatkan nasihat profesional.

Selain itu, tuan perlu meningkatkan tahap aktiviti fizikal harian untuk mencapai defisit kalori. Jumlah kalori yang diambil perlu dibakar dalam aktiviti harian yang dibuat.

Jika amalan itu berjaya dilakukan ia boleh mengurangkan berat badan.

Pun demikian, ubat-ubatan yang dapat menyekat selera atau merangsang perasaan kenyang juga berkesan. Namun perlu ada kelulusan pihak farmasi kebangsaan dan preskripsi diambil dipantau oleh doktor.

SOALAN 2

Hilang ingatan impak penyakit tiga serangkai

DOKTOR, saya menghidap penyakit tiga serangkai iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan jantung. Penyakit itu semakin merunsingkan apabila ada simptom baharu yang mana saya sering lupa. Saya pernah tidak ingat nama sendiri. Doktor, apakah penyebabnya dan cara untuk mengatasi masalah tersebut?

-RISAU LUPA, ISMAIL HUSEIN, 46, TANGKAK, JOHOR

PENGAMBILAN kuantiti makanan dengan kadar yang banyak mendorong obesiti.


JAWAPAN:

TUAN, faktor kebiasaan penyakit tiga serangkai sering dikaitkan dengan cara hidup, persekitaran dan pemakanan.

Bagi menghuraikan masalah yang berlaku, doktor perlu mendapatkan sejarah perubatan dengan lebih teliti.

Umumnya, penyakit tiga serangkai boleh membuatkan seseorang itu berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kardiovaskular atau jantung, komplikasi otak dan berlakunya strok.

Gejala yang ditunjukkan pesakit iaitu mengalami kurang atau hilang ingatan boleh dikaitkan dengan masalah diabetes jika pernah mengalami strok berulang kali.

Tahap gula dalam darah yang amat rendah berlaku berulang kali boleh mencetuskan risiko pada organ dalaman antaranya bahagian otak.

Bahagian yang terlibat iaitu frontal yang mengawal ingatan dan seterusnya menjejaskan fungsi ingatan. Namun, perlu disiasat dengan terperinci untuk mengesahkannya.

Sudah semestinya pada peringkat permulaan, penyakit diabetes menyerang saraf kaki. Jika tidak dikawal ia boleh merebak ke bahagian lain.

Selain itu, kesan sampingan ubat antidiabetik hipoglisemia ataupun paras gula dalam darah yang rendah iaitu pada paras kurang dari 4milimol per liter dan lain-lain lagi berlakunya gejala hipoglisemia (lapar, berdebar, resah, keliru, pitam dan sawan) jika berlaku dengan kerap boleh dikaitkan kesan fungsi pemikiran otak mungkin boleh menyebabkan kurang daya ingatan .

Amalkan gaya hidup dan pemakanan sihat serta membudayakan aktiviti fizikal.

ANEKDOT

Obesiti:

- Pengumpulan lemak berlebihan atau abnormal yang boleh merosakkan kesihatan.

- Golongan mempunyai BMI lebih 23 kilogram (kg)/m2 dikelaskan sebagai mempunyai berat badan berlebihan, manakala yang dikelaskan sebagai obes memiliki BMI lebih dari 27.5 kg/m2.

Tip mencegah penyakit tiga serangkai:

- Lakukan pemeriksaan awal.

- Pengambilan pemakanan seimbang.

- Melakukan aktiviti dan senaman. Lakukan selama 30 minit sehari seperti berjalan kaki, bersiar-siar, naik tangga, berkebun dan sebagainya.

- Tidur mencukupi.

- Jauhi tekanan.

- Pengambilan vitamin yang sesuai.

Profil

DR Zanariah


Dr Zanariah Hussein merupakan Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Am di Hospital Putrajaya.