PEKAN - Kelincahan dan ketangkasan Cumbia dan Mimosa di padang polo menjadikan dua kuda baka Argentina itu menjadi kuda kesayangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengurus kandang kuda di Kelab Polo Diraja Pahang di sini, Amran Selamat berkata, kuda yang berusia 15 tahun itu masih menjadi pilihan Sultan Abdullah walaupun Seri Paduka tidak lagi aktif bermain polo atas faktor kesihatan.
Amran, 42, berkata, kali terakhir Seri Paduka menunggang Cumbia dan Mimosa pada perlawanan polo adalah sekitar tahun 2014 dan selepas itu hanya menunggang kuda berkenaan sebagai aktiviti riadah.
"Walaupun kini bersemayam di Istana Negara, tuanku masih mengambil kesempatan untuk melihat kuda kesayangan tuanku setiap kali mencemar duli ke Pekan dan ada masanya baginda sendiri berkenan untuk memberi kuda makan.
"Kuda tersebut kini akan ditunggang anakanda baginda atau saya dan seorang lagi pemain kelab yang diberi kebenaran untuk berbuat demikian, pada latihan polo," katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, Sultan Abdullah membeli Mimosa dan Cumbia ketika kuda itu berusia enam tahun dan setakat ini terdapat 60 ekor kuda yang kesemuanya baka Argentina di kelab itu.
Katanya, kuda itu diberi makan rumput kering (hay), palet kuda dan vitamin bagi memastikan kesihatannya selain menjalani pemeriksaan doktor veterinar setiap enam bulan.
Anak jati Pekan itu berkata, beliau pernah menyembah maklum kepada Sultan Abdullah yang ketika itu berada di ibu negara, mengenai kematian kuda kesayangan Seri Paduka, 20 tahun lalu.
"Tuanku terdiam seketika apabila diberitahu tentang kematian kuda baginda. Kuda itu mulai sakit teruk pada waktu malam dan kami terus menghubungi doktor veterinar, namun usianya tamat pada keesokan pagi.
"Tuanku tahu kami sudah melakukan apa yang boleh untuk menyelamatkan kuda itu dan menitahkan supaya kuda tersebut ditanam dengan baik. Sejak itu, kami akan segera menyembah maklum mengenai kuda yang sakit ke pengetahuan baginda," katanya.
Amran, yang merupakan seorang daripada ahli pasukan polo Seri Paduka berkata, walaupun Sultan Abdullah tidak lagi bermain polo, Cumbia dan Mimosa masih aktif 'dalam sukan itu' selain turut menjalani latihan bersama pasukan kelab setiap minggu.
Selain itu, Cumbia dan Mimosa juga akan dibawa keluar pada waktu pagi dan petang setiap hari di bawah tanggungjawab seorang lagi kakitangan kelab, Rosli Omar, 49, yang berkhidmat di situ sejak tahun 1989.
"Sebelum ini, jika tuanku mahu menunggang kuda, baginda akan menghantar pesanan kepada saya menitahkan untuk menyiapkan kuda bagi dipersembahkan sebaik sahaja tuanku tiba.
"Kebiasaannya selepas tamat perlawanan polo, Sultan Abdullah akan berjoging mengelilingi padang bukan sekali tetapi ada masanya sehingga tiga pusingan sampaikan kami yang melihat pun berasa penat," katanya.
Amran berkata tugasan untuk menyiapkan Mimosa dan Cumbia juga hanya dibenarkan kepada seorang 'groomer' iaitu Mohd Ridwan Mahmud, 30, yang turut bertanggungjawab memandikan kuda sebelum dimasukkan ke kandang.
Mengimbas kenangan bermain polo bersama Sultan Abdullah, Amran berkata, Seri Paduka sering bertitah supaya mereka termasuk pasukan lawan untuk bermain habis-habisan kerana tidak mahu diberikan kemenangan mudah hanya kerana 'status' Seri Paduka.
"Saya juga pernah menyaksikan tuanku jatuh daripada kuda semasa perlawanan, namun semangat kesukanan menyebabkan baginda kembali menunggang kuda untuk menghabiskan perlawanan," katanya. - Bernama