Tokan dadah, dua orang kanan tumpas

Iklan
Mit (tengah) bersama pegawai dan anggota JSJN Kelantan menunjukkan dadah yang dirampas dalam Ops Ice Breaker yang dijalankan pihaknya bermula 28 Julai lalu.

KOTA BHARU - Seorang tokan sindiket dadah terbesar di Pasir Puteh bersama dua orang kanannya tumpas apabila ditahan polis di hadapan sebuah rumah di Kampung Tasek Pauh, Selising, awal pagi semalam.

Mereka ditahan dalam serbuan Ops Ice Breaker yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan pada jam 1 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua JSJN Kelantan, Asisten Komisioner Mit Emong berkata, hasil maklumat dan risikan polis menahan tauke dadah tersebut berusia 40 tahun yang bekerja sebagai petani bersama dua orang kanannya berusia 32 dan 41 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menjumpai 5,200 biji pil kuda, 58.86 gram (g) syabu dan heroin (80g) bernilai RM100,829 di atas tanah serta dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz yang diletakkan di hadapan rumah tersebut.

Iklan

"Berlaku pergelutan ketika anggota cuba menahan mereka namun kesemuanya berjaya ditangkap.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai dadah di tempat suspek berada iaitu di dalam satu peket berwarna biru, dalam kotak rokok dan selebihnya di tempat duduk belakang sebuah kereta Honda Jazz,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.

Dadah yang dirampas dalam Ops Ice Breaker termasuk pil kuda, heroin, syabu dan daun ketum.

Iklan

Mit berkata, suspek dipercayai baru sahaja mengambil bekalan dadah di negara jiran dan sedang menunggu pengedar kecil di kawasan Pasir Puteh bagi menjalankan urusan jual beli dadah di sekitar daerah tersebut.

"Kesemua suspek positif methamphetamine dan mereka adalah anggota satu sindiket yang dikesan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di daerah itu bermula tiga bulan lalu.

"Pihak kami masih meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki anggota sindiket. Suspek direman seminggu sehingga 5 Ogos depan bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, dua motosikal jenis Honda EX5 bernilai RM3,000 turut disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, keseluruhan operasi Ice Breaker merekodkan 239 tangkapan berusia antara 18 hingga 45 tahun membabitkan 21 pengedar, 88 memiliki dadah, 119 urin positif dan lapan waran tangkap.

"Operasi dianggotai 136 anggota dan pegawai bermula pada 28 Julai lalu dan akan dilakukan secara berterusan setiap hari dengan memfokuskan lokasi panas membabitkan gejala dadah,” katanya.