KUANTAN - Tindakan membenarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menembak penceroboh hutan amat dialu-alukan NGO pencinta alam.
Presiden Perikatan Pencinta Alam (Alam) Malaysia, Khaidir Ahmad berkata, ini sebagai usaha yang drastik Kerajaan Malaysia dalam menyatakan ketegasan untuk memelihara hidupan liar dan alam sekitar yang kian pupus di tangan rakus.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pemburuan haram semakin menjadi-jadi dengan membunuh puluhan hidupan liar di hutan dalam satu satu masa.
"Selama bertahun-tahun saya bersama NGO alam sekitar, pelbagai kemusnahan hutan dan hidupannya telah saya saksikan. Bagaimana mereka boleh menembusi sempadan negara? Mereka rompak hasil hutan kita dan bunuh binatang yang dilindungi.
"Penceroboh haram hutan kita ini, terutama warga Vietnam sangat rakus. Mereka bertindak buas dan ganas malah berani menyerang anggota Perhilitan dengan senjata berbahaya sehingga ada yang sampai menerima rawatan di hospital.
"Mereka sanggup menceroboh hutan kita kerana wujudnya permintaan yang tinggi di negara mereka. Mereka bukan sahaja makan tetapi jual dan jadikan industri yang hasilkan banyak benda dari hidupan liar ini manakala di negara kita, dilindungi di bawah undang-undang," katanya.
Tambah beliau, penceroboh yang tidak tahu menghormati undang-undang Malaysia wajar dihukum dengan tegas.