Pertabalan Agong: Dewan Negara zahir ucapan tahniah

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Keris Kerajaan, simbol kebesaran dan kekuasaan Raja Berperlembagaan pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara semalam. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dewan Negara hari ini merafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pertabalan sebagai Agong ke-16, semalam.

Dewan Negara turut menzahirkan sembah tahniah kepada Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Raja Permaisuri Agong.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran ketika berucap mewakili ahli Dewan Negara yang lain berkata, pertabalan yang berlangsung dengan penuh adat istiadat, selamat disempurnakan mengikut tradisi kesultanan Melayu pada tarikh yang amat istimewa iaitu pada hari keputeraan sebenar Seri Paduka sendiri.

"Bagi pihak dewan yang mulia ini dan ahli-ahlinya patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena pertabalan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong.

Iklan

"Semoga tuhan yang Maha Kuasa melanjutkan usia baginda berdua serta memberi taufik dan hidayah untuk baginda berdua mencerminkan prinsip keadilan, kesaksamaan sepanjang pemerintahan lima tahun akan datang bagi memakmur dan mensejahterakan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Dirgahayu Tuanku," katanya yang mengakhiri ucapan dengan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali.

Dalam pada itu, Vigneswaran turut menyeru ahli Dewan Negara yang lain bersama-sama memberi makna kepada titah Seri Pduka yang menggariskan pentingnya usaha dalam meningkatkan tadbir urus, integriti, memerangi rasuah dan mempertahankan keluhuran perlembagaan. - Bernama

Iklan