Bapa kerja di pelantar minyak, hanya sebulan sekali jumpa anak

Iklan
Wani tegar membesarkan kedua-dua anaknya meskipun tinggal berjauhan dengan suami tercinta.
BERJAUHAN dengan suami merupakan saat yang paling sukar, apatah lagi terpaksa mengurus anak seorang diri. Ia benar-benar mencabar kekuatan mental dan fizikal.

Itu yang dilalui pasangan yang duduk berjauhan atau diberi jolokan perhubungan jarak jauh (PJJ). Selalunya hal itu berlaku disebabkan tuntutan kerja demi mencari nafkah.

Bukan mudah untuk berhadapan situasi sedemikian. Tidak semua wanita mampu untuk berdiri dan melaksanakan tanggungjawab sendiri tanpa suami di sisi.

Iklan
Iklan

Lebih memilukan, apabila anak kerapkali bertanya di mana bapanya? Malah ada segelintir anak langsung tidak mengenali bapa sendiri.

Apa tidaknya, sebaik lahir, si cilik sudah hidup berjauhan dengan bapa yang nun jauh di sana.

Iklan

Jika ditanya pada mana-mana isteri, tiada siapa yang mahu tinggal berjauhan dengan pasangannya. Pun begitu, mereka terpaksa pasrah jika ditakdirkan jika sebaliknya demi survival keluarga.

Sebulan sekali berjumpa

Situasi perit itu kini direntas pasangan Syazwani Zainal Abidin, 31, dan suami, Mohd Nazif Ghazali, 33. Syazwani terpaksa tinggal berasingan ekoran suaminya bertugas di pelantar minyak, Miri, Sarawak.

Iklan

Wanita itu yang mesra disapa Wani memaklumkan, beliau dan suaminya tinggal berjauhan sejak enam tahun lalu selepas dua bulan mereka diijabkabulkan.

"Memang berat hati saya nak berpisah dengan suami, dengan inai masih merah di jari saya terpaksa berjauhan dengannya.

"Pun demikian, saya terpaksa reda untuk memperoleh kehidupan dan pendapatan lebih baik buat kami sekeluarga," katanya yang kini bergelar suri rumah dan tinggal di Perak bersama kedua ibu bapanya.

Sudah enam tahun pasangan ini tinggal berjauhan lantaran tuntutan pekerjaan.

Sebelum ini, Wani pernah bekerja, namun terpaksa mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa bagi memberi tumpuan kepada cahaya mata pertamanya.

"Sebaik melahirkan anak sulung, Naura Aulia Sofia yang kini berusia lima tahun, suami nasihatkan saya berhenti kerja dan beri tumpuan pada anak.

"Sehinggalah saya melahirkan anak kedua, Naufalyn Humayra, 3, kami masih tinggal berjauhan," katanya kepada Keluarga Femina baru-baru ini.

Selepas mempunyai zuriat, Wani akui, beliau agak sibuk menguruskan anak-anak sehingga kadang-kadang terlupa sebentar rasa duka menanggung rindu terhadap suami.

"Jika dilayan jiwa dan perasaan, rasa sedih, sunyi, rindu membuak-buak semua ada. Namun saya kuatkan hati demi anak-anak.

"Telefon menjadi penghubung antara kami, tiga kali sehari suami akan membuat panggilan video untuk bersembang dan berkongsi cerita dengan saya dan anak-anak," ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor.

Selepas enam tahun hidup berjauhan, wanita tinggi lampai yang berasal dari Manjung, Perak itu bertambah kuat dan cekal untuk menghadapi kehidupan berdikari tanpa suami di sisi.

"Meskipun berjauhan, sebulan sekali suami akan pulang menjenguk kami. Beliau akan menghabiskan sepenuh masa cutinya dengan membawa kami keluar dan melakukan aktiviti bersama.

"Anak-anak insan paling teruja, macam-macam cerita akan dikongsinya. Mereka sangat rapat dengan suami walaupun jarang ketemu," katanya.

Di sebalik itu semua, Wani tidak dapat mengelak apabila anak-anak akan bertanya di mana bapa mereka selepas itu?

Kad ucapan Selamat Hari Bapa yang dibuat khas oleh Naura untuk Mohd Nazif tidak dapat diserahkan pada hari berkenaan kerana bapanya jauh di Sarawak.

"Seperti Hari Bapa baru-baru ini, guru kelas meminta anak sulung, Naura dan pelajar lain membuat kad ucapan untuk diberikan kepada bapa masing-masing sebaik pulang ke rumah.

"Guru kelasnya pelik tengok Naura yang tampak sedih, bila guru tanya kenapa dan dia beritahu bapanya tidak ada di sini, jauh di Sarawak. Situasi itu benar-benar membuatkan saya sebak," kongsinya sambil menahan rasa pilu yang tidak terkata.

Walau apa sekalipun yang berlaku, Wani memberitahu, beliau dan suami sentiasa menaruh kepercayaan dan kesetiaan antara satu sama lain.

Sementara itu, Mohd Nazif pula mengakui, kasih sayangnya terhadap isteri dan anak-anak tetap menjadi nombor satu meskipun jarak memisahkan mereka sejak bertahun-tahun lalu.