APMM tahan bot nelayan langgar kawasan

Iklan
Bot nelayan tempatan yang ditahan APMM selepas didapati melanggar syarat lesen tangkapan ikan.

GEORGETOWN - Sebuah bot nelayan tempatan Kelas B ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas didapati menceroboh kawasan Zon A di kedudukan 3.5 batu nautika dari Barat Laut Tanjung Piandang, Perak, pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot kenka itu berjaya ditahan jam 11.10 pagi selepas APMM menerima maklumat awam mengenai tindakan pengusaha bot berkenaan yang dipercayai sedang menunda ikan di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa menghampiri bot berkenaan, pihaknya mendapati kru bot sedang memotong pukat bagi tujuan melepaskan diri.

"Usaha mereka untuk meloloskan diri tidak berhasil dan mereka berjaya tidak lama kemudian. Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun dan dua orang lelaki tempatan berumur 54 tahun berada di atas bot tersebut.

Iklan

"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini.

Hamizan berkata, hasil pemeriksaan di dalam bot tersebut menemui satu gulung pukat tunda, dua tong ikan dan ikan campur yang dianggarkan seberat 100 kilogram.

Iklan

Katanya, kesemua yang dirampas dibawa ke Jeti Polis Marin di Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Hamizan menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan di perairan Pulau Pinang agar aktiviti menyalahi undang-undang jenayah laut dapat dibanteras sebaiknya.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk memberi kerjasama dengan memberi maklumat awam yang lengkap kepada pihak Maritim Malaysia melalui talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau terus hubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang, 04-2626146 / 04-264 3650.