Pemuda diarah jalani rawatan psikiatri

Iklan
Tertuduh diarah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas didakwa melakukan ugutan jenayah.

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini mengarahkan seorang pemuda yang berdepan dakwaan melakukan ugutan jenayah dihantar ke Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru untuk menjalani rawatan psikiatri.

Terdahulu, tertuduh, Mohammad Aqiel Zainal, 22, seolah-olah bermain tarik tali di dalam mahkamah apabila menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah atas dakwaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah itu.

Iklan
Iklan

Pada mulanya, tertuduh dari Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut, namun akhirnya menukar pengakuan tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan hukuman yang boleh dijatuhkan sekiranya dia disabitkan kesalahan itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mencederakan Muhammad Adiel Zainal, 20, menggunakan sebilah pisau kecil dengan niat menimbulkan rasa takut mangsa.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah Seberang Bukit Tumbuh, Jalan Airport, Kuala Nerus, jam 3 pagi, pada 27 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan tertuduh.