KUALA TERENGGANU - Jambatan angkat atau drawbridge yang merupakan ikon baharu Terengganu akan dibuka semula kepada orang awam esok bermula jam 6 pagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan pembukaan itu, semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan angkat berkenaan.
Bagaimanapun katanya, pengguna tidak dibenarkan meletakkan kenderaan atau berhenti kerana ia boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.
"Pengunjung yang ingin melawat jambatan angkat diminta meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir disediakan di bawah jambatan dan menggunakan tangga atau lif.
"Ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi dan menggunakan tangga atau lif di menara jambatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai operator jambatan angkat.
Menurutnya, pada masa ini, pihak kontraktor utama masih berada di tapak projek untuk memberi latihan kepada pasukan operator Terengganu Incorporated Sdn Bhd sehingga 30 September.
"Semoga pembukaan jambatan ikonik ini akan memberi impak kepada sektor pelancongan negeri Terengganu seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat di samping memperkenalkan negeri ini di mata dunia.
"Saya berharap agensi pelancongan dapat memasukkan lawatan ke jambatan angkat ini dalam salah satu pakej lawatan pelancong ke Terengganu, selain produk pelancongan sedia ada," katanya.
Jambatan angkat itu mula dibina pada 2014, membabitkan kos RM248 juta dan pembinaannya melibatkan laluan utama jambatan, empat menara, dan dua 'sky bridge'.
Dengan panjang keseluruhan 638 meter dan ketinggian 12.5 meter dari aras laut, jambatan itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir.
Jambatan ikonik itu yang pertama seumpamanya di rantau ini dan bakal menjadi salah satu mercu tanda negeri, merupakan antara komponen pembangunan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTTC) yang sedang rancak dibangunkan.