Saksi mengaku guna wang sendiri untuk kawal atur akaun Najib

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai bank yang menguruskan akaun Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia terpaksa menggunakan wangnya sendiri untuk mengawal atur akaun itu pada 2014.

Joanna Yu Ging Ping, 48, bekas pengurus perhubungan AmBank, berkata akaun itu telah terlebih pengeluaran sebanyak RM55,000 disebabkan pengeluaran cek RM80,000 tanpa baki yang mencukupi, dan dia terpaksa mengambil langkah itu untuk mengelakkan cek tersebut menjadi cek tendang.

Iklan
Iklan

Yu berkata dia terpaksa menggunakan wang sendiri kerana dia tidak memperoleh dana daripada Josie, setiausaha kepada ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa Low Taek Jho, atau Jho Low, dan rakannya Kee Kok Thiam.

Saksi ke-54 pendakwaan itu memberitahu demikian semasa pemeriksaan balas oleh Harvinderjit Singh iaitu peguam yang mewaili Najib pada hari ke-46 perbicaraan bekas perdana menteri itu.

Iklan

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit membaca beberapa petikan perbualan melalui BlackBerry Messenger antara Yu dan Low.

Iklan

Harvinderjit: Ini berlaku pada 29 September 2014. Yu menghubungi Low dan memberitahunya tentang perlunya untuk wang tunai didepositkan ke dalam akaun Najib di AmBank.

Yu: Ya.

Harvinderjit: Low kemudian mengarahkan anda untuk menghubungi Kee Kok Thiam bagi menyediakan dana, tetapi diberitahu bahawa dia tidak dapat berbuat demikian. Beliau berada di Melaka.

Yu: Ya

Harvinder berkata disebabkan ketiadaan Kee, Low telah mengarahkan saksi tersebut untuk menghubungi Josie tetapi setiausaha itu juga berada di luar kawasan dan hanya boleh mendepositkan wang pada hari berikutnya.

Saksi itu bersetuju dengan Harvinderjit bahawa dia kemudian memberitahu Josie bahawa dia mungkin perlu membantu Low untuk menyediakan dan itu terlebih dahulu.

Harvinderjit: Sekali lagi saya mengatakan RM55,000, wang itu daripada anda. Dan Josie membayar balik kepada kamu keesokan harinya?

Yu: Ia mungkin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. -Bernama