SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan negara ini bakal berdepan dengan pencemaran udara atau jerebu bermula hari ini berkemungkinan disebabkan oleh kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera, Indonesia.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, Sumatera terletak di barat daya Malaysia dan pergerakan angin ke negara ini adalah dari arah tersebut.
Menurutnya, tiupan angin tersebut juga dipengaruhi oleh faktor tekanan angin rendah di Laut China Selatan.
"Setakat ini kita mendapati bahawa beberapa kawasan di Lembah Klang seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah terkesan. Jika dilihat kepada keadaan cuaca pagi tadi ada sedikit jerebu.
"Berdasarkan kepada stesen kami di Petaling Jaya, Subang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Negeri Sembilan di Kuala Pilah menunjukkan kadar ketampakan menurun. Semalam, ada satu titik panas di Pahang," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, berdasarkan laporan, terdapat kira-kira 32 titik panas di Sumatera akibat kebakaran yang bakal mempengaruhi kadar pencemaran udara di Malaysia.
"Saya jangkakan negara kita akan mengalami jerebu bagi tempoh seminggu bermula hari ini.
"Selagi kebakaran tidak berjaya dipadamkan, kita akan terus menerima kesan ini atas beberapa faktor utama iaitu arah tiupan angin," katanya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar rumah sekiranya kadar pencemaran udara tinggi kerana ia memberi kesan kepada kesihatan.
"Ikuti pengumuman yang dibuat pihak berkaitan perkara ini dari masa ke semasa bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya.
Sementara itu tinjauan Sinar harian di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar mendapati indeks pencemaran udara (IPU) di Malaysia setakat jam 5 petang kebanyakan kawasan masih berada pada kadar sederhana.