KULIM - Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas dihempap batu besar dalam kawasan kuari di Jalan Kuari Pecah Batu di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mujiantoro, 45, sedang melakukan kerja-kerja memecah batu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.45 tengah hari dan segera ke lokasi dengan kekuatan enam anggota.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi, mangsa didapati tertimbus bersama sebuah jentolak yang dikendalikannya.
"Untuk tindakan, anggota bomba menggunakan bantuan jentolak syarikat tersebut bagi kerja-kerja mengeluarkan mangsa.
"Operasi berkenaan ditamatkan pada jam 4.09 petang selepas mangsa berjaya ditemui dalam timbunan batu. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital," katanya.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak hospital dan polis bagi tindakan lanjut.